Isu-Isu Kenegaraan Malaysia Siri 1 merupakan percubaan awal penulis bersama
dengan beberapa kumpulan penyelidik untuk menganalisis secara mendalam tentang
sejarah pembentukan negara, perkembangan politik, perubahan sosial, pendidikan,
perlembangaan, budaya, agama dan hubungan antarabangsa.
Penghasilan buku ini adalah bertujuan untuk memberi kefahaman tentang sejarah
Malaysia secara mendalam kepada para pembaca yang akhirnya diharapkan mereka
menginsafi bahawa pembinaan tamadun sesebuah negara bukanlah begitu mudah.
Sesungguhnya perjuangan menuntut kemerdekaan negara memerlukan pengorbanan yang
begitu besar. Natijahnya, hasil dan nikmat daripada kemerdekaan negara dan
program pembangunan yang dilaksanakan, turut dikecapi oleh kita semua.Adalah
diharapkan pengkaryaan buku ini dapat menyumbangkan kesedaran patriotisme dan
nasionalisme yang lebih mendalam di kalangan rakyat Malaysia.
Hasil penulisan ini merupakan sebahagian daripada cabaran kepada
penulis-penulis untuk menghasilkan karya mengenai negara kita sendiri menurut
kaca mata nasional. Ini disebabkan kebanyakan buku sejarah Malaysia yang awal
disifatkan sebagai penulisan yang berbentuk western-centric. Para
penulisnya pula terdiri daripada pegawai-pegawai British yan bertugas di negara
ini. Justeru itu, memang terdapat begitu banyak bias dalam penuisan mereka.
Buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan kepada para pelajar yang mengikut
mata pelajaran Sejarah Malaysia dan Kenegaraan Malaysia sama ada di peringkat
sekolah menengah atas, maktab, kolej dan universiti. Buku ini juga sesuai untuk
dijadikan bahan bacaan umum untuk menambahkan lagi kefahaman dan mengukuhkan
kesedaran kenegaraan di kalangan para pembaca.