Kepesatan pembangunan khususnya di Malaysia menerusi pertumbuhan ekonomi yang
semakin meningkat dan proses pembandaran yang semakin berkembang di seluruh
negara semenjak beberapa dekad yang kebelakangan ini telah mencetuskan perubahan
yang ketara terhadap persekitaran fizikal dan juga manusia. Keadaan ini berlaku
apabila manusia itu sendiri tidak meletakkan pertimbangan kepentingan
pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar dengan sewajarnya di dalam
melaksanakan setiap projek pembangunan yang diamanahkan oleh kerajaan.
Rentetan dari itu, aspek pengurusan dan pendidikan alam sekitar menjadi satu
bidang yang penting dalam kehidupan mutakhir ini memandangkan banyak isu-isu dan
krisis alam sekitar hangat diperkatakan oleh semua pihak. Perkembangan ini juga
telah mempamerkan keprihatian masyarakat terhadap isu dan persoalan persekitaran.
Justeru, subjek Pendidikan Alam Sekitar adalah satu proses untuk mengenalpasti
nilai dan konsep semulajadi yang terdapat pada seseorang agar ia dapat memahami
dan mengakui tentang wujudnya pertalian rapat antara manusia dan biofizikal di
sekelilingnya. Ia melibatkan pengajaran mengenai kebolehan menilai dan berfikir
tentang hubungan dinamik antara manusia dan alam sekitar. Pendidikan Alam
Sekitar merupakan usaha-usaha untuk menjayakan matlamat pengawalan alam sekitar.
Ia bukan merupakan cawangan Ilmu Sains yang bersendirian sebaliknya ia merupakan
satu prinsip pendidikan jangka masa yang berinteraksi.